Thursday, 23 June 2011

Warkah untuk Diyanah Amin

Nurdiyanah Amin Nordin,
No 5 Jalan 12,
Taman Mesra Jalan Cheras
43000 Kajang, Selangor.

Assalammualaikum wbt,

Ke hadapan sahabatku Diyanah Amin. yang sekarang berada di depan monitor PC mahupun Lappy. Di harap saudari berada di dalam keadaan yang sihat walfiat di samping keluarga dan teman-teman tersayang. Terlebih dahulu, izinkan saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kerana sudah lama tidak melayangkan warkah untuk tatapan saudari serta bertanya khabar saudari.

Saudari Diyanah,

Tujuan saya menulis kepada saudari ini adalah untuk menitipkan beberapa pesanan buat saudari. Adalah menjadi harapan saya agar setiap pesanan yang dititipkan ini dapatlah saudari penuhi. Untuk makluman pihak saudari, dimana saya rasakan saudari sudah pun sedia maklum mengenainya, bahawa saya akan berangkat pada esok hari menyeberangi Laut China Selatan untuk ke Sarawak. Tahukah saudari bahawasanya Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak adalah seluas 531.1 kilometer persegi? (saya baru tahu melalui google sebentar tadi..)

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan saya serta keluarga tersayang (tidak termasuk ahmad zainal) agar saudari dapat menghantar kami ke LCCT bagi membolehkan kami ke Meow Meow, Sarawak tersebut. Seperti yang telah saya maklumkan pada saudari bahawa kami akan berangkat pada jam 12.25pm waktu Malaysia (GMT +8). Kami juga amatlah berharap agar saudari dapat mengambil kami pulang dari Meow Meow, Sarawak dimana kami dijangka tiba pada 4.45pm (27 Jun). Saya juga telah dimaklumkan bahawa saudari telah memohon cuti bagi urusan percutian saya ini. Maka, sekalung penghargaan diberikan kepada saudari.

Saudari Diyanah,

Sepanjang pemergian saya, saya mengamanahkan WTA9014 berada di dalam hak penjagaan saudari. Oleh yang demikian, jagalah beliau seperti menatang minyak yang penuh. Saya bukan bermaksud untuk saudari memanjakan dia, tapi saya mengharapkan agar saudari mengisi minyak penuh-penuh ke perut beliau. Saya juga amat berharap seandainya saudari punya masa yang terluang untuk membawa beliau ke salon-salon kecantikan yang berdekatan untuk memandikan beliau. Seingat saya, sudah hampir sebulan beliau tidak dimandikan. Atau mungkin juga sudah hampir ke angka dua bulan. Saya juga sudah lupa akan kebajikan beliau. Maka dengan itu, sudi-sudilah kiranya membasuh kereta saya wangi-wangi dan jangan lupa untuk vacuum sekali bahagian dalam kereta tersebut.

Saudari Diyanah,

sepanjang pemergian saya ini, saya telah dimaklumkan oleh saudari bahawa saudari hendak ke Terengganu bersama WTA9014. Dan dengan ini, saya memberikan sepenuh keizinan beserta kepercayaan saya terhadap saudari untuk memandu WTA9014 sejauh itu. Dapatlah juga WTA9014 itu menghirup asap kota di negeri yang terkenal dengan kopok losong tu. Dan tak perlulah saudari membungkus kopok-kopok tersebut sebagai cenderahati buat saya. Saya takut tak termakan nanti. Tapi sekiranya saudari mempunyai pendapatan yang lebih, bolehlah beli serunding daging barang sekilo dua. buat bekalan menjelang ramadhan yang bakal menjelma tak lama lagi.

Saudari Diyanah,

saya juga ingin memohon ampun dan maaf. Ini adalah disebabkan saya rasa mungkin tiada cenderahati yang bakal di beli oleh saya untuk saudari dari meowmeow itu. Bukan apa, gaji tak masuk lagi. di harap saudari memahami kesulitan yang saya alami ini. namun demikian, saya akan mengabadikan kenangan-kenangan saya di sana nanti untuk tatapan saudari. Oleh disebabkan saudari tidak turut serta di dalam perjalanan saya ini, maka amatlah dukacitanya hati saya apabila tiada insan yang rajin nak curi-curi tangkap gambar saya. Kuranglah wajah saya nanti di dalam album percutian kali ini.

Saudari Diyanah,

di kesempatan ini, saya juga ingin memohon jasa baik pihak saudari agar dapatlah kiranya menitipkan doa agar perjalanan saya ini selamat pergi, sampai serta pulang kembali ke tanah air. Dan sekiranya saudari merindui saya nanti, sila-silalah hubungi saya atau sms saya nanti. Di sana nanti tiada data roaming yang di kenakan.

Memandangkan saya mempunyai kekangan masa, maka sampai disini sahajalah coretan saya buat saudari. Sekiranya terdapat perkataan yang menyinggung saudari, saya dengan rasa rendah hati memohon seribu kemaafan.


Akhir kata dari saya, Majulah sukan untuk Negara..


Salam Sayang, Sahabatmu
Aida Fazihrah Nazri
June 23, 2011

3 comments:

  1. tak cukup masa pun dh panjang cenggini... tak tau laa panjang mana if ckup masa ekk.... :D

    ReplyDelete
  2. hahahaha.... kalau cukup masa, mau berkajang-kajang warkah untuk beliau!

    ReplyDelete

Thanks for Reading (^_^)